Budaya kita warga seantero dunia cukup kaya dan berbeza. Perkara kecil yang nampak pelik mungkin benda yang biasa untuk orang dari negara lain seperti espresso di Roma.
Orang di Itali kuat minum espresso, bahkan cara minum espresso pun ada – dan kita kalau melancong, perlulah tiru walaupun untuk sekali supaya betul-betul di-Itali-kan dan ingat, jangan pesan cuppacino lepas jam 11 pagi. Itu baru dikira pengalaman melancong, bukan?
Tapi untuk coretan hari ini, budaya kita letak sebelah dulu, dan mengkaji apa pula ‘impresi kali pertama perihal negara. Cerita ini sudah saya ceritakan kepada banyak kawan dan sampai hari ini juga, rasa bangga itu tetap ada setiap kali cerita ini diungkit balik.
Ia berlaku 10,500 kilometer dari kampung halaman, dan di meja makan untuk makan tengahari sewaktu saya menghadiri persidangan.
Meja saya boleh duduk 10 orang, dan hari itu kalau saya tak salah, 9 tempat telah diambil. Selain saya, terdapat wakil dari Seoul, Rome, Madrid, Germany (dah tak ingat bandar apa, Berlin saya rasa), London, Kanada dan Argentina.
Pendek kata, hanya tiga orang dari Asia – saya, dan dua dari Korea Selatan. Sambil menikmati makanan, kami semua pun berborak dan masing-masing memperkenalkan syarikat dan lebih penting, negara asal.
Tatkala itu, saya masih ingat, siri Winter Sonata cukup hebat dan saya sempat berkongsi dengan ‘perwakilan’ dari Korea Selatan bahawa saluran Korean tetap selalu ada di kaca tv rumah saya.
Dia pun minta saya beri contoh, sekali saya tersebut Winter Sonata, mereka berdua terus bersorak dan amat kagum. Kagum dan bangga dengan industri perfileman negara mereka sehingga dipuji dan ditonton di Malaysia.
Saya pun tambah, bukan saja tonton siri Korea tapi saya pun suka sangat dengan bulgogi, soju dan kimchi mereka. Terpegun terus mata mereka!
Saya tidak sedar, giliran untuk saya terpegun dan terkagum akan tiba seketika nanti.
Mungkin kerana suara saya kuat atau inti cerita saya menarik – kerana apabila saya berborak tentang Malaysia, Kuala Lumpur dan sebagainya, wakil Argentina terus menyampuk “Malaysia saya tahu! Perdana Menteri kamu Dr. Mahathir Mohammad memang disanjung tinggi, bahkan di Buenos Aires kita semua membaca mengenainya dan tahu sumbangannya!”
“Oh, yakah?” saya membalas. Dalam hati, I rasa oh, terdalil Dr. M ini memang hebat. Terus wanita yang mewakili Kanada pula menambah: Betul, betul! Dr. Mahathir ialah peneraju, bukan saja untuk Malaysia tapi dia berprinsip teguh dan membuka banyak jalan untuk negara Islam.
Untuk seminit atau dua minit selepas itu, rakan semeja yang lain ada yang angguk dan sekurang-kurangnya dua lagi bermadah sepatah dua, memuji tinggi Dr. M.
Makan tengahari itu cukup lazat dan mengenyangkan tapi rasa bangga yang dirasai masa itu lagi hebat. Saya tahu dari dulu lagi pun, Dr. M memang diiktiraf sebagai pemimpin Malaysia yang tersohor.
Tapi untuk mendengarnya dari mulut orang asing di atas meja makan sambil bermakan, memang rasanya lain dan cukup membanggakan.
Inilah yang dikatakan ‘first impression. Sebut saja nama Malaysia, ‘first response yang saya dapat ialah Dr. M hebat.
Malam keesokannya, untuk makan malam terakhir sebelum kita semua bersurai balik ke negara masing-masing, saya pula duduk sebelah dengan usahawan dari Mesir.
Berpusat di Cairo, usahawan berjaya ini telah banyak melawat semua benua jadi kita semua rakan semeja pun mendengarlah dia bercerita.
Hanya selepas 2 jam (makan malam ini cukup panjang dan berlangsung selama 3 jam) dia bertanya, ‘where are you from?’
Jawab saya dengan bergaya: Malaysia. Terus dua biji matanya membeliak sedikit dan terus dia ujar, kamu sangat bertuah. Negara kamu sangat bertuah kerana mempunyai pemimpin seperti Dr. Mahathir Mohammad!
Bukan saya yang sebut nama Dr. M, dia yang sebut dulu! Dalam ayatnya berikut, terkeluar juga perkataan Proton dan KLCC. Amboi…
Pada penghujung persidangan, mungkin gambar tidak banyak saya ambil. Mungkin perkara teknikal baru pun tidak kuat impak dan lambat-laun saya akan lupa pun.
Tapi kata-kata pujian ini saya tidak akan lupa. Pendapat warga negara lain tentang kedudukan negara saya tetap saya ingat kerana impaknya kuat!
Saya rasa diiktiraf walaupun berasal dari negara yang kecil kalau dibandingkan dengan Kanada atau Argentina, lebih-lebih lagi negara yang muda dan baru merdeka beberapa dasawarsa yang lalu.
Saya rasa dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara lain. Saya amat bangga.
* Persidangan ini berlangsung setahun selepas Dr. M bersara.

Entri ini adalah antara entri terbaik yang pernah saya baca tentang kehebatan Tun Dr. Mahathir…
Saya dapat merasai apa yang dirasai oleh See Patung apabila membaca entri ini dan turut berasa kagum kerana mempunyai negarawan seperti Tun M.
Jarang-jarang kita membaca satu artikel daripada seorang penulis yang dapat membawa pembacanya menyelusuri perjalanan dan perasaan si penulis.
Tapi See Patung ternyata berjaya melakukannya!
Syabas dan tahniah daripada saya!
Cuma seperkara, tajuk entri ini mungkin lebih cantik jika turut menyentuh sedikit tentang Tun M atau tentang diri See Patung sebagai anak Malaysia yang berada di Rome.
Terima kasih Zafrin, pujian yang tinggi