Selain bekerja sebagai penulis, saya juga menyumbang keringat sebagai perunding dalam sebuah syarikat perkhidmatan antarabangsa. Dari cawangan pejabat mereka di ceruk rantau, saya beroperasi bila dan ketika perlu.
Misi saya ialah menganalisa keperluan bakal pelanggan dan mengorak langkah serta menyediakan strategi untuk ‘menawan’ deretan pelanggan ini. Dan dalam kebanyakan misi di Asia Tenggara, saya akan terbawa ke bandaraya kosmopolitan yang bergelar Venice Timur.
Apabila misi saya berjaya di sana atau tatkala saya terasa amat puas (ataupun amat letih), Asia Herbs ialah satu-satunya tempat yang saya kunjungi.
Dirintis oleh usahawan Jepun, Asia Herbs ialah tempat untuk mengurut kaki dan badan ala tradisi Thai. Terdapat beberapa cawangan di sekitar kawasan Sukhumvit 24, 31 dan cawangan terbaru mereka bertempat tiga minit jalan kaki dari stesen metro Thong Lor.
Rata-rata pelancong yang datang acap kali akan balik kali ke-2 atau ke-3 pun. Tambahan itu, Asia Herbs mempunyai barisan pelanggan tetap yang terdiri daripada golongan expat yang bekerja di Bangkok, khususnya warga Jepun.
Saya merupakan salah satu pelanggan tetap yang setia kerana layanan dan perkhidmatan di sini yang kebiasaannya melebihi tahap kepuasan dan jangkaan saya.
Langkah pertama ialah membuat tempahan melalui telefon. Saya selalunya akan memilih staf kegemaran saya dan memilih bilik kegemaran saya bergantung kepada jenis urut yang saya ingini.
Untuk urut kaki, terdapat ruangan umum yang menempatkan empat atau enam buah kerusi tetapi saya inginkan keperibadian yang optimum dan selalu menegaskan untuk diberi bilik peribadi.
Bilik peribadi mempunyai dua kerusi. Kerusi ini bukanlah kerusi biasa tetapi menyerupai kerusi besar di atas kabin business dalam pesawat Singapore Airlines 777-300 terbaru.
Kerusinya besar dan lengkap dengan tempat alas kaki dan boleh dibelakangkan 180 darjah supaya saya boleh baring sepenuhnya.
Sebelum sesi urut bermula, pakaian longgar akan disediakan. Pakar pengurut Asia Herbs (yang semuanya melalui latihan dan ujian berkala) seterusnya akan mencuci kaki saya. Terdapatlah tempat duduk di mana kaki saya ditempatkan di dalam sebuah sinki dan air panas atau air sejuk akan digunakan mengikut pilihan saya.
Selepas dikeringkan dengan lembut, kita berdua pun berarak ke dalam bilik. Pintu akan ditutup dan secara automatik, saya akan menutup juga telefon saya. Lampu bilik semuanya menggunakan cahaya kuning yang lembut dan bagi saya, lampu ini akan dimalapkan.
Pengurut kegemaran saya, Khun Boo akan menyediakan kerusi dan selepas saya duduk, Boo akan meluruskan kerusi supaya saya terbaring sepenuhnya. Satu selimut yang tebal dan selesa juga disediakan dan boleh digunakan jika saya terasa sejuk.
Dengan menggunakan bahasa Inggerisnya yang terhad, diselang-seli dengan bahasa Thai saya yang lagi terhad, Boo akan menaikkan atau menurunkan suhu air-con mengikut citarasa saya. Langkah seterusnya ialah memastikan muzik yang berayunan di belakang tabir adalah kesukaan saya – sama ada opera klasikal zaman Bach, kicauan burung hutan tropika atau campuran ombak menghempas pantai dan bayu yang menyemilir.
Suasana bilik cukup nyaman dan tenang. Diri saya pun sudah selesa dan terbaring menghayati kilauan bintang di langit (walhal palsu). Sesi urut kaki kini bermula.
Bermula dari kaki kanan, Boo akan memulakan proses menghilangkan kesemua tekanan di tapak kaki saya. Secara perlahan-lahan, Boo akan menekan dan mengurut tempat yang strategik, khususnya tumit kaki, sekitar lutut dan sepanjang tulang fibia. Selepas lebih kurang 10 minit, kaki saya akan dibungkus dengan kain tebal dan Boo beralih pula ke kaki kiri dan memulakan proses yang sama.
Selepas pengenalan 10 minit ini di kaki kiri, saya semestinya sudah hampir tertidur atau terasa cukup nyaman. Telefon tidak akan berbunyi dan semua hal kerja serta pancaroba hidup semuanya terpinggir, buat sementara waktu.
Dunia dan segala permasalahannya berada di luar pintu ini. Apa yang ada hanyalah kegelapan yang menyelubungi jiwa, ditemani pengurut kaki yang berbakat dan sepasang kaki saya yang mendahagakan perhatian khusus yang diberi.
Setiap bahagian tapak kaki akan diurut dan menurut ilmu refleksologi, setiap poin pada kaki tersambung dengan organ atau sistem badan kita. Tahap tekanan yang diberi berbeza-beza mengikut lokasi pada kaki. Kadang-kadang, saya akan meminta untuk ditingkatkan usaha supaya terasa lebih Oomph lagi.
Boo juga akan menggunakan satu kayu pendek untuk menusuk titik tertentu khasnya kawasan kecil antara jari kaki dan di bahagian atas ibu jari dan sekitarnya, yang dikaitkan dengan otak.
Mungkin kerana saya selalu berfikir dan menggunakan tenaga otak, bahagian inilah yang paling sakit dan paling memberi impak pada saya. Segala kepincangan dapat dileraikan oleh Boo dan kayu pendeknya yang ‘berkuasa.
Selepas 40 minit bersama kaki kiri, Boo akan kembali ke kaki tangan yang ‘terbungkus tadi. Layanan istimewa yang sama akan berulang dan hanya tergendala seketika jika saya ingin menikmati teh hijau Jepun yang dihidangkan.
Sebagai penutup tirai, Boo akan mengurut kepala dan bahu saya selama 10 minit. Sehelai kain putih yang bersih dan sangat panas akan dibentangkan di atas muka saya. Kepanasan untuk beberapa saat itu amatlah dihargai dan apabila haba mengewap ke udara, keletihan dan kegusaran saya terbawa sekali.
Apa yang tinggal hanya kepuasan, kelegaan dan kesyukuran. Segala keletihan nescaya terurai selepas 90 minit di Asia Herbs ini.
Satu entri yang sangat menarik.
Kisah urut kaki ini pasti akan menarik lebih ramai masyarakat di luar sana untuk berkunjung dan mencari Khun Boo.
Sungguh bertuah dia kerana mendapat pelanggan yang sudi mempromosikan perkhidmatannya.
Namun, perkhidmatan terbaik seperti ini sememangnya harus diwar-warkan agar lebih ramai masyarakat mendapat manfaatnya…
Syabas See Patung atas entri yang menarik ini…