Semalam saya tertemu balik di dunia maya (Youtube) filem Singapore berjudul Homerun. Perkara utama dalam cerita ini ialah sepasang kasut di mana si abang dan si adik perempuan terpaksa berkongsi sepasang kasut kerana silap si abang.
Dan kita pun dibawa menghayati keperitan hidup orang susah dahulu (dan juga sekarang) di mana sepasang kasut sekolah itu ialah aset umpama emas yang tersangat bernilai.
Walaupun ini kali kedua saya menontonnya, tetap terasa pilu sedikit dan juga rasa penuh menghargai keadaan dan kedudukan saya di bahtera kehidupan. Perjalanan berliku-liku pernah saya harungi satu ketika dulu.
Bukannya saya kaya-raya sekarang dan saya masih dibuai aspirasi untuk terus berjaya lagi dan meningkatkan tahap kekayaan diri untuk kebaikan diri dan juga keluarga. Semangat ini masih berkobar-kobar.
Tapi, filem macam inilah yang mengingatkan diri saya untuk perlahan seketika, tidak perlu terus memecut di landasan kemajuan. Henti sejenak untuk menghargai sejauh mana pembaharuan dan kemajuan diri yang dikecapi dan pada masa yang sama, bantulah orang di sekeliling yang memerlukan bantuan, khususnya kawan atau saudara-mara yang dekat. Ataupun orang asing, sekali-sekala apa salahnya?
Bagi diri saya, bantuan tidak semestinya dalam bentuk wang walhal wang ialah cara tercepat untuk kedua-dua pihak. Saya ingat lagi, ada sebuah gerai di Bangkok yang menjual nasi ayam. Saya suka sangat dengan gerai ini.
Gerai ini terletak bersebelahan dengan sebuah pusat beli-belah dan mula menjual pada jam 6 petang. Terdapat beberapa meja dan kerusi untuk mereka yang ingin makan di situ, terus di kaki lima.
Saya selalunya membeli satu bungkus dengan wang 30 Baht (tak sampai pun US 1 dollar). Kalau tamak sikit, akan saya pesan bungkus yang lebih besar, tambah 10 Baht. Lebih ayam, lebih nasi!
Gambar dari: http://www.about-recipes.com
Disebabkan rasanya yang cukup sedap dan juga murah, saya selalu singgah dua tiga kali seminggu apabila saya berada di Bangkok lebih dari beberapa hari untuk urusan projek.
Dan setiap kali saya datang, akan bertemu dengan seorang budak, yang umurnya tak sampai 8 tahun pun, yang mengemis di kaki lima, lebih kurang sepuluh langkah dari gerai nasi ayam ini.
Setiap kali saya datang, dia akan bersenyum dengan saya. Tapi kerana mungkin dia sudah cam saya, dia tidak menaikkan cawannya untuk meminta wang.
Bagi saya, senyumannya cukup ikhlas dan jujur. Bukan setiap kali saya memberi derma kepadanya. Ada sekali sahaja, kerana malas membawa syiling, saya memberinya wang 5 baht (lebih kurang 50 sen di Malaysia).
Dan kebiasaannya, tidak kira jam apa saya datang, mesti ramai orang berbaris menunggu bungkusan nasi ayam. Saya pun menyertai barisan pembeli yang lapar dan menunggu. Boleh bersyukur kalau tunggu hanya 15 minit.
Dan setiap kali, sambil menunggu, saya akan memandang sini sana, melihat jalan raya yang terlalu sibuk, orang lalu lalang dan juga budak itu yang duduk di kaki lima. Selepas beberapa kali, saya dapati budak ini baik.
Setiap orang yang lalunya, dia akan memberi salam wai (dengan dua tangan) dan senyum. Mereka yang menderma akan sudah tentu diberi ucapan terima kasih beberapa kali dan salam juga. Ini memang dijangka.
Apa yang saya tak jangka ialah mereka yang berkasar sedikit dengannya pun dia akan mohon maaf dan senyum. Ini terutamanya untuk mereka yang nak jalan cepat dan budak ini kononnya menghalang jalan. Atau mereka yang tersepak cawan dermanya dan memaki.
Saya nampak semua cabaran ini dia tempohi dengan tabah. Saya sedar terdapat geng jalanan yang menggunakan budak kecil untuk meminta sedekah tetapi keikhlasan dan kesungguhannya terserlah dan juga matanya yang sayu.
Adakah mungkin budak ini benar-benar lapar sebenarnya? Atau ada adik di rumah yang menunggu makan malam yang tidak sampai-sampai ini?
Petang itu, apabila saya melaluinya dan selepas bersalam wai, saya pun bertanya dalam bahasa Thai, adakah anda sudah makan? Tapi nampaknya dia tidak faham.
Saya pun menelefon kawan Thai saya dan minta diterjemahkan frasa tersebut. Budak itu menggeleng kepala. Nasi ayam VIP saya (40 baht) pun saya beri kepadanya. Mukanya terus bersinar dan penuh harapan.
Lepas itu, saya pun balik ke gerai dan beli lagi, dan tauke pun bertanya apa jadi dengan bungkus pertama? Saya pun tunjuk dan kata sudah diberi pada budak itu. Dia juga tersenyum.
Beberapa kali ini terjadi selepas itu. Saya akan beli dua, satu untuk budak itu. Dan tauke selalu minta 40 baht sahaja. Bungkusan untuk budak itu percuma. Best sekali.


Saya terharu membaca kisah ini. Hati tergerak untuk memberi komen.
Calvin, anda memang seorang yang berhati mulia!
Keperitan dan kesengsaraan manusia lain jarang diperhatikan oleh sesetengah masyarakat.
Di kala kita mengejar kemajuan dan kemewahan, kita seharusnya tidak lupa untuk melihat ke bawah dan menyaksikan keperitan hidup orang lain.
Ia akan mengajar kita untuk menjadi lebih tabah di dalam hidup, lebih berusaha untuk maju dan paling penting, tahu memberi sedikit kegembiraan kepada mereka yang memerlukan.
Syabas Calvin! Ternyata anda melakukannya dan sikap anda wajar dicontohi.
Sememangnya, perkara yang paling menggembirakan di dalam hidup kita sebenarnya ialah apabila kita dapat menggembirakan orang lain.
Saya percaya anda merasai perasaan itu!