Hujung minggu di negara yang sejuk, jadi saya terkenang dan terjumpa ini:
Pelbagai makanan warga Malaysia yang berbilang kaum. Tengoklah!
^^Alangkah baiknya dialog tentang Cina dan India sebagai pendatang boleh dihentikan. Kejap-kejap, muncul lagi…
Hujung minggu di negara yang sejuk, jadi saya terkenang dan terjumpa ini:
Pelbagai makanan warga Malaysia yang berbilang kaum. Tengoklah!
^^Alangkah baiknya dialog tentang Cina dan India sebagai pendatang boleh dihentikan. Kejap-kejap, muncul lagi…
Posted in Sepintas Lalu | Leave a Comment »
Klik alamat ini untuk membaca tentang St. Regis Residences di Bangkok, yang saya tulis bulan lepas.
Artikel saya disiarkan dalam majalah berprestij, Inbound:
Jika ada sesiapa yang menyukai gaya tulisan saya, dan ingin menggaji meminta saya untuk menulis, sila emel saya yer…
Posted in Sepintas Lalu | Leave a Comment »
Dua tahun lepas, saya berkesempatan menghadiri satu sesi perbualan dengan Datuk Jimmy Choo, pereka kasut negara kita yang tersohor seantero dunia.
Sesi tersebut dianjurkan oleh Matrade bersempena dengan sebarisan acara yang berlangsung pada minggu itu, berpusat di Menara Matrade.
Selepas makan tengahari, saya dan hadirin hadirat sekalian pun berarah balik ke dewan besar dan selepas diperkenalkan kepada tetamu kehormat petang yang cerlang itu, sesi perbualan pun bermula.
Datuk Jimmy naik perlahan ke pentas, segak sekali. Suara dan intonasinya cukup lantang dan alkisah hidupnya dari kampung halaman di Pulau Pinang pun bermula.
Datuk Jimmy membawa kita berjalan balik mengimbau masa silam tatkala dia meninggalkan negara dan pergi belajar di England. Beliau mengutarakan kisah cintanya yang mendalam dengan reka bentuk kasut.
Isi cerita mungkin sebahagiannya saya sudah tidak ingat, tapi bahagian yang dramatik dan penting tetap tersemat dalam ingatan.
Antaranya ialah bagaimana Datuk mengujar bahawa dalam fashion show, penekanan hanya diberikan kepada dandanan rambut, pakaian yang cantik dan mekap. Tiada fokus kepada kasut yang baginya, ialah permata yang berupa mahkota kaki kita yang membawa kita berkelana dan berpijak di muka bumi.
Satu lagi, ialah ideanya untuk menjual kasut yang direkanya pada harga 2 atau 5 Pound Britain masa itu. Kawan dan rakan mengejek dia gila. Tidak siuman…
Tetapi, Datuk Jimmy tidak mengalah dan bertekad untuk mengusahakan ideanya, lalu pada satu hari dia berkunjung ke sebuah bank untuk memohon pinjaman 50 Pound, kalau tak silap (atau 100).
Permohonannya ditolak kerana pengurus bank itu ialah seorang lelaki, yang memang tidak dapat menghayati aspirasi Datuk Jimmy yang berkobar-kobar.
Tambahan itu, pengurus itu tidak dapat menghargai reka bentuk kasut Datuk Jimmy yang lain daripada yang lain, dan bakal meletup dan menjanakan revolusi kasut, ala Jimmy.
Memang lucu dan tersentuh hati mendengar titik-titik permulaan yang begitu perit dan penuh dugaan ini. Dan apabila kita merenung balik sejauh mana Datuk Jimmy sudah mencapai sejak itu, kita semua akan rasa terharu dan terasa juga untuk mencuba mengejar impian.
Segala ranjau dan pancaroba permulaan suatu cetusan idea Datuk Jimmy telah ditempuhi dengan berjaya, dan kini beliau merupakan sumber inspirasi kepada kita semua, terutamanya diri saya.
Saya amat kagum dengan perjalanannya di London yang berliku-liku dan susah pada awalnya. Kendatipun Datuk Jimmy tidak begitu fasih berbahasa Inggeris, hadirin sekalian pada hari itu begitu bersemangat mendengarnya. Sampai berpusu-pusu meminta autograph-nya selepas sesi sembang-sembang telah tamat.
Bagi saya, itulah keistimewaan Datuk Jimmy – beliau berjaya membuktikan bahawa apa yang penting ialah kesungguhan dan ketekunan dan semangat untuk menuju ke arah aspirasi kita. Saya menyanjung tinggi kepadanya dan berharap akan berjaya juga dalam bidang saya sendiri, satu hari nanti.
Dan jika ibu saya akan datang berkunjung ke Eropah musim panas ini, saya pasti akan membawanya untuk membuat sepasang kasut Jimmy Choo, hadiah saya kepada ibu tersayang.
Posted in Renungan | Leave a Comment »
Hotel yang mesti dikunjungi bagi peminat Grand Prix di Abu Dhabi.
Reka bentuk dalamannya cukup hebat, bagaikan mahligai di kayangan
Estetika seni bina luarannya pun tersangat gah!
Hayati maklumat lanjut di: http://www.theyashotel.com
Posted in Sepintas Lalu | Tagged Abu Dhabi, hotels, middle-east | Leave a Comment »
Semalam saya tertemu balik di dunia maya (Youtube) filem Singapore berjudul Homerun. Perkara utama dalam cerita ini ialah sepasang kasut di mana si abang dan si adik perempuan terpaksa berkongsi sepasang kasut kerana silap si abang.
Dan kita pun dibawa menghayati keperitan hidup orang susah dahulu (dan juga sekarang) di mana sepasang kasut sekolah itu ialah aset umpama emas yang tersangat bernilai.
Walaupun ini kali kedua saya menontonnya, tetap terasa pilu sedikit dan juga rasa penuh menghargai keadaan dan kedudukan saya di bahtera kehidupan. Perjalanan berliku-liku pernah saya harungi satu ketika dulu.
Bukannya saya kaya-raya sekarang dan saya masih dibuai aspirasi untuk terus berjaya lagi dan meningkatkan tahap kekayaan diri untuk kebaikan diri dan juga keluarga. Semangat ini masih berkobar-kobar.
Tapi, filem macam inilah yang mengingatkan diri saya untuk perlahan seketika, tidak perlu terus memecut di landasan kemajuan. Henti sejenak untuk menghargai sejauh mana pembaharuan dan kemajuan diri yang dikecapi dan pada masa yang sama, bantulah orang di sekeliling yang memerlukan bantuan, khususnya kawan atau saudara-mara yang dekat. Ataupun orang asing, sekali-sekala apa salahnya?
Bagi diri saya, bantuan tidak semestinya dalam bentuk wang walhal wang ialah cara tercepat untuk kedua-dua pihak. Saya ingat lagi, ada sebuah gerai di Bangkok yang menjual nasi ayam. Saya suka sangat dengan gerai ini.
Gerai ini terletak bersebelahan dengan sebuah pusat beli-belah dan mula menjual pada jam 6 petang. Terdapat beberapa meja dan kerusi untuk mereka yang ingin makan di situ, terus di kaki lima.
Saya selalunya membeli satu bungkus dengan wang 30 Baht (tak sampai pun US 1 dollar). Kalau tamak sikit, akan saya pesan bungkus yang lebih besar, tambah 10 Baht. Lebih ayam, lebih nasi!
Gambar dari: http://www.about-recipes.com
Disebabkan rasanya yang cukup sedap dan juga murah, saya selalu singgah dua tiga kali seminggu apabila saya berada di Bangkok lebih dari beberapa hari untuk urusan projek.
Dan setiap kali saya datang, akan bertemu dengan seorang budak, yang umurnya tak sampai 8 tahun pun, yang mengemis di kaki lima, lebih kurang sepuluh langkah dari gerai nasi ayam ini.
Setiap kali saya datang, dia akan bersenyum dengan saya. Tapi kerana mungkin dia sudah cam saya, dia tidak menaikkan cawannya untuk meminta wang.
Bagi saya, senyumannya cukup ikhlas dan jujur. Bukan setiap kali saya memberi derma kepadanya. Ada sekali sahaja, kerana malas membawa syiling, saya memberinya wang 5 baht (lebih kurang 50 sen di Malaysia).
Dan kebiasaannya, tidak kira jam apa saya datang, mesti ramai orang berbaris menunggu bungkusan nasi ayam. Saya pun menyertai barisan pembeli yang lapar dan menunggu. Boleh bersyukur kalau tunggu hanya 15 minit.
Dan setiap kali, sambil menunggu, saya akan memandang sini sana, melihat jalan raya yang terlalu sibuk, orang lalu lalang dan juga budak itu yang duduk di kaki lima. Selepas beberapa kali, saya dapati budak ini baik.
Setiap orang yang lalunya, dia akan memberi salam wai (dengan dua tangan) dan senyum. Mereka yang menderma akan sudah tentu diberi ucapan terima kasih beberapa kali dan salam juga. Ini memang dijangka.
Apa yang saya tak jangka ialah mereka yang berkasar sedikit dengannya pun dia akan mohon maaf dan senyum. Ini terutamanya untuk mereka yang nak jalan cepat dan budak ini kononnya menghalang jalan. Atau mereka yang tersepak cawan dermanya dan memaki.
Saya nampak semua cabaran ini dia tempohi dengan tabah. Saya sedar terdapat geng jalanan yang menggunakan budak kecil untuk meminta sedekah tetapi keikhlasan dan kesungguhannya terserlah dan juga matanya yang sayu.
Adakah mungkin budak ini benar-benar lapar sebenarnya? Atau ada adik di rumah yang menunggu makan malam yang tidak sampai-sampai ini?
Petang itu, apabila saya melaluinya dan selepas bersalam wai, saya pun bertanya dalam bahasa Thai, adakah anda sudah makan? Tapi nampaknya dia tidak faham.
Saya pun menelefon kawan Thai saya dan minta diterjemahkan frasa tersebut. Budak itu menggeleng kepala. Nasi ayam VIP saya (40 baht) pun saya beri kepadanya. Mukanya terus bersinar dan penuh harapan.
Lepas itu, saya pun balik ke gerai dan beli lagi, dan tauke pun bertanya apa jadi dengan bungkus pertama? Saya pun tunjuk dan kata sudah diberi pada budak itu. Dia juga tersenyum.
Beberapa kali ini terjadi selepas itu. Saya akan beli dua, satu untuk budak itu. Dan tauke selalu minta 40 baht sahaja. Bungkusan untuk budak itu percuma. Best sekali.
Posted in Renungan | 1 Comment »
Saya berjalan balik dalam kesejukan semalam. Turun dari stesen metro, angin yang kuat menghalakan kesemua kesejukan ke arah saya.
Apartmen saya hanya 400 meter dari pintu masuk stesen tapi lepas sampai ke pintu bangunan saya, tangan saya sudah ‘hilang’. Kunci pun tidak dapat dipegang dengan betul.
Jadi, inilah yang dikatakan sejuk. Suhu semalam ialah 5 darjah Celcius. Sambil saya membuat catatan minda – MESTI beli sarung tangan esok, saya teringat Prince William beberapa minggu lepas telah bermalam di kaki lima di London.
Beliau berbuat begitu kerana ingin merasai dengan sebenarnya kesengsaraan yang dialami oleh penghuni jalanan di London yang tidak kurang bilangannya. Suhu malam mereka pun bukan 5 darjah tapi jauh menjunam ke bawah sifar.
Sebaik sahaja saya masuk ke dalam apartmen saya, terus dihidupkan pemanas air. Suhu sekitar apartmen agak selesa kerana pemanas dalam setiap bilik akan terbuka secara sendirinya setiap petang.
Lima belas minit kemudian, air sudah panas dan dituangkan ke dalam sebuah piring besar yang biasanya digunakan untuk membuat kek dalam ketuhar.
Saya pun meletakkan kedua-dua tapak tangan saya ke dalam air yang panas ini, secara perlahan-lahan. Akhirnya selepas meyakinkan diri bahawa air tidaklah ter-panas sangat, kedua-dua tapak tangan saya pun ‘tenggelam’ sepenuhnya.
Kehangatan air memang menyegarkan dan mengembalikan tenaga ke tangan dan juga minda saya. Dalam dua atau tiga minit itu, sempat juga saya terfikir sejenak: Janganlah rindu sangat sang suria dan cuaca Asia.
Ini kerana antara perkara dalam ‘senarai baldi’ saya ialah melalui kehidupan bekerja di Eropah. Dalam lebih kurang 20 perkara dalam senarai ini yang mesti saya lakukan sebelum saya bertolak ke dunia seterusnya ialah dua perkara berkenaan Eropah.
1. Saya mesti melawat Eropah sekali sekurang-kurangnya sebagai pelancong dan walaupun wang Ringgit saya akan hangus dibelanja, saya akan kembali miskin wang tapi kaya pengalaman.
2. Saya mesti mengalami kehidupan sebagai warga Eropah dengan bekerja di mana-mana negara Eropah untuk sekurang-kurangnya 1 bulan dan diharapkan semua ongkos harian dibiayai dan wang gaji Euro berlambak tinggi supaya bila kembali nanti, saya akan kaya dengan Ringgit dan kaya juga dengan pengalaman.
Nampaknya, perkara 1 telah dilakukan semasa musim panas 5 tahun dahulu dan perkara 2 kini sedang berlangsung. Jadi persoalan mana tangan saya berjawab, tangan saya dan saya sekali kini berada di Eropah yang cukup sejuk.
Tetapi berbaloi.
Posted in Renungan | Leave a Comment »
Selain bekerja sebagai penulis, saya juga menyumbang keringat sebagai perunding dalam sebuah syarikat perkhidmatan antarabangsa. Dari cawangan pejabat mereka di ceruk rantau, saya beroperasi bila dan ketika perlu.
Misi saya ialah menganalisa keperluan bakal pelanggan dan mengorak langkah serta menyediakan strategi untuk ‘menawan’ deretan pelanggan ini. Dan dalam kebanyakan misi di Asia Tenggara, saya akan terbawa ke bandaraya kosmopolitan yang bergelar Venice Timur.
Apabila misi saya berjaya di sana atau tatkala saya terasa amat puas (ataupun amat letih), Asia Herbs ialah satu-satunya tempat yang saya kunjungi.
Dirintis oleh usahawan Jepun, Asia Herbs ialah tempat untuk mengurut kaki dan badan ala tradisi Thai. Terdapat beberapa cawangan di sekitar kawasan Sukhumvit 24, 31 dan cawangan terbaru mereka bertempat tiga minit jalan kaki dari stesen metro Thong Lor.
Rata-rata pelancong yang datang acap kali akan balik kali ke-2 atau ke-3 pun. Tambahan itu, Asia Herbs mempunyai barisan pelanggan tetap yang terdiri daripada golongan expat yang bekerja di Bangkok, khususnya warga Jepun.
Saya merupakan salah satu pelanggan tetap yang setia kerana layanan dan perkhidmatan di sini yang kebiasaannya melebihi tahap kepuasan dan jangkaan saya.
Langkah pertama ialah membuat tempahan melalui telefon. Saya selalunya akan memilih staf kegemaran saya dan memilih bilik kegemaran saya bergantung kepada jenis urut yang saya ingini.
Untuk urut kaki, terdapat ruangan umum yang menempatkan empat atau enam buah kerusi tetapi saya inginkan keperibadian yang optimum dan selalu menegaskan untuk diberi bilik peribadi.
Bilik peribadi mempunyai dua kerusi. Kerusi ini bukanlah kerusi biasa tetapi menyerupai kerusi besar di atas kabin business dalam pesawat Singapore Airlines 777-300 terbaru.
Kerusinya besar dan lengkap dengan tempat alas kaki dan boleh dibelakangkan 180 darjah supaya saya boleh baring sepenuhnya.
Sebelum sesi urut bermula, pakaian longgar akan disediakan. Pakar pengurut Asia Herbs (yang semuanya melalui latihan dan ujian berkala) seterusnya akan mencuci kaki saya. Terdapatlah tempat duduk di mana kaki saya ditempatkan di dalam sebuah sinki dan air panas atau air sejuk akan digunakan mengikut pilihan saya.
Selepas dikeringkan dengan lembut, kita berdua pun berarak ke dalam bilik. Pintu akan ditutup dan secara automatik, saya akan menutup juga telefon saya. Lampu bilik semuanya menggunakan cahaya kuning yang lembut dan bagi saya, lampu ini akan dimalapkan.
Pengurut kegemaran saya, Khun Boo akan menyediakan kerusi dan selepas saya duduk, Boo akan meluruskan kerusi supaya saya terbaring sepenuhnya. Satu selimut yang tebal dan selesa juga disediakan dan boleh digunakan jika saya terasa sejuk.
Dengan menggunakan bahasa Inggerisnya yang terhad, diselang-seli dengan bahasa Thai saya yang lagi terhad, Boo akan menaikkan atau menurunkan suhu air-con mengikut citarasa saya. Langkah seterusnya ialah memastikan muzik yang berayunan di belakang tabir adalah kesukaan saya – sama ada opera klasikal zaman Bach, kicauan burung hutan tropika atau campuran ombak menghempas pantai dan bayu yang menyemilir.
Suasana bilik cukup nyaman dan tenang. Diri saya pun sudah selesa dan terbaring menghayati kilauan bintang di langit (walhal palsu). Sesi urut kaki kini bermula.
Bermula dari kaki kanan, Boo akan memulakan proses menghilangkan kesemua tekanan di tapak kaki saya. Secara perlahan-lahan, Boo akan menekan dan mengurut tempat yang strategik, khususnya tumit kaki, sekitar lutut dan sepanjang tulang fibia. Selepas lebih kurang 10 minit, kaki saya akan dibungkus dengan kain tebal dan Boo beralih pula ke kaki kiri dan memulakan proses yang sama.
Selepas pengenalan 10 minit ini di kaki kiri, saya semestinya sudah hampir tertidur atau terasa cukup nyaman. Telefon tidak akan berbunyi dan semua hal kerja serta pancaroba hidup semuanya terpinggir, buat sementara waktu.
Dunia dan segala permasalahannya berada di luar pintu ini. Apa yang ada hanyalah kegelapan yang menyelubungi jiwa, ditemani pengurut kaki yang berbakat dan sepasang kaki saya yang mendahagakan perhatian khusus yang diberi.
Setiap bahagian tapak kaki akan diurut dan menurut ilmu refleksologi, setiap poin pada kaki tersambung dengan organ atau sistem badan kita. Tahap tekanan yang diberi berbeza-beza mengikut lokasi pada kaki. Kadang-kadang, saya akan meminta untuk ditingkatkan usaha supaya terasa lebih Oomph lagi.
Boo juga akan menggunakan satu kayu pendek untuk menusuk titik tertentu khasnya kawasan kecil antara jari kaki dan di bahagian atas ibu jari dan sekitarnya, yang dikaitkan dengan otak.
Mungkin kerana saya selalu berfikir dan menggunakan tenaga otak, bahagian inilah yang paling sakit dan paling memberi impak pada saya. Segala kepincangan dapat dileraikan oleh Boo dan kayu pendeknya yang ‘berkuasa.
Selepas 40 minit bersama kaki kiri, Boo akan kembali ke kaki tangan yang ‘terbungkus tadi. Layanan istimewa yang sama akan berulang dan hanya tergendala seketika jika saya ingin menikmati teh hijau Jepun yang dihidangkan.
Sebagai penutup tirai, Boo akan mengurut kepala dan bahu saya selama 10 minit. Sehelai kain putih yang bersih dan sangat panas akan dibentangkan di atas muka saya. Kepanasan untuk beberapa saat itu amatlah dihargai dan apabila haba mengewap ke udara, keletihan dan kegusaran saya terbawa sekali.
Apa yang tinggal hanya kepuasan, kelegaan dan kesyukuran. Segala keletihan nescaya terurai selepas 90 minit di Asia Herbs ini.
Posted in Lihat-lihat dunia | 1 Comment »